NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
8 Oktober 2013
indra
PEMAIN Kelantan, Indra Putra
Mahayuddin mampu menarik nafas lega apabila beliau tidak akan dikenakan denda
oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan insiden menyiku penyerang
kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada suku akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd Amin berkata, Indra Putra tidak akan didakwa apabila tiada laporan
yang diterima pihaknya daripada pegawai perlawanan mengenai insiden tersebut.
"Laporan mengenai
perlawanan tersebut saya sudah terima semalam (Isnin) tetapi laporan untuk
insiden itu tiada.
"Malah laporan dari
kedua-dua pasukan juga tidak diterima, jadi setakat ini tiada apa tindakan yang
akan diambil kepada Indra Putra.
"Bagaimanapun, sekiranya
ada laporan selepas ini kita akan melihat berdasarkan peraturan yang ada kerana
kita perlu adil kepada kedua-dua pihak. Namun setakat ini tiada kes atau
laporan," katanya selepas sidang media mengenai Persiapan Harimau Muda A
ke Sukan Sea di Wisma FAM, hari ini.
Dalam laporan media tempatan
baru-baru ini melaporkan Indra Putra bakal berdepan tindakan FAM selepas dia
didakwa menyiku Norshahrul ketika pertembungan suku akhir kedua Piala Malaysia
di Stadium Sultan Muhammad IV.
Ekoran insiden itu, pemain
Johor Darul Takzim (JDT) itu mengalami kecederaan hidung dan terpaksa
mendapatkan rawatan susulan.
Malah difahamkan kecederaan
yang menimpa Norshahrul mungkin lebih serius daripada yang dijangka selepas dia
difahamkan tidak berlepas ke Shenzhen, China bersama Harimau Malaya bagi
perlawanan persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu.
Bagaimanapun, penyerang
Kelantan itu menafikan dia sengaja menyiku muka Norshahrul mahupun menyimpan
niat jahat untuk mencederakan bekas pemain The Red Warriors (TRW) itu.
Indra Putra berkata, sebagai
pemain profesional, dia menghormati peraturan bola sepak negara dan sedar
sebarang kekasaran yang dilakukan secara sengaja boleh mengundang padah.
RUJUKAN:SINAR HARIAN ONLINE
8.10.13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan