Ahad, 19 Mac 2017

Aksi penyelamat babak ke-2


 

ARKIB : 17/10/2001
PENYERANG Negeri Sembilan, Azman Adnan (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Perak, Indra Putra Mahayuddin dalam aksi suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam. Perak menang 2 - 1. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.

PENYANDANG juara, Perak menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit terakhir untuk mengecewakan pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1 dalam aksi suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Kemenangan itu sekaligus mencerahkan peluang Seladang ke separuh akhir dalam usaha mempertahankan gelaran mereka. Pasukan bimbingan M. Karathu itu hanya perlu seri dalam aksi suku akhir kedua di Ipoh, Sabtu ini.

Wong Sai Kong menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol pembukaan pada minit ke-44 menerusi sepakan percuma sebelum Perak bangkit pada babak kedua.

Ketika skuad Rusa hampir pasti mencatat kemenangan, Perak tiba-tiba berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rafdi Rashid minit ke-88 sebelum bekas pemain Negeri Sembilan, Faizal Zainal tidak mensia-siakan peluang sepakan percuma untuk menggembirakan Seladang dengan gol kemenangan minit terakhir perlawanan.

Aksi dramatik dipamerkan dalam pertembungan Terengganu dengan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu yang berkesudahan seri 2-2.

Sapian Wahid meletakkan pasukan tuan rumah di depan seawal minit kelima babak pertama sebelum penyerang Selangor, Yusri Che Lah menjaringkan dua gol minit ke-64 dan 73 pada babak kedua untuk mendahului 2-1.

Bagaimanapun, ketika Selangor di ambang kemenangan, Sapian menyelamatkan skuad Penyu apabila sentuhannya pada minit ke-87 mengikat kedudukan 2-2.

Gol penyamaan Yusri dicipta menerusi tandukan kilas hasil rembatan ke arah pintu gol Tengku Hazman Raja Hassan dan gol kemenangan Merah Kuning terhasil menerusi pergelutan depan pintu gol Terengganu.

Yusri hanya menyungkit bola melepasi penjaga gol gantian Penyu, Syamsuri Mustaffa.

Di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang terlepas peluang meraih kemenangan apabila dipaksa seri 1-1 oleh Perlis.

Ahmad Shahruddin Rosdi menceriakan kem Tok Gajah dengan gol pembukaan minit ke-11 tetapi Khairil Zamri Rashid menyamakan kedudukan minit ke-65.

Pulau Pinang bakal berdepan tugas berat setelah gagal memanfaatkan beraksi di gelanggang sendiri dengan hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kelantan.

Gol pertama Kelantan dijaringkan oleh Tuan Kamree Tuan Yahaya pada minit ke-24 sebelum gol penyamaan Pulau Pinang empat minit kemudian menerusi R. Sureshkumar dalam perlawanan yang menimbulkan `kontroversi` dengan insiden tolak menolak dan tindakan pengadil yang mengarahkan jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti meninggalkan bangku pemain simpanan.

Kelantan yang diasak Pulau Pinang dan terpaksa berkubu dalam tempoh 20 minit pertama memperolehi sepakan percuma `kontroversi' setelah Sharudy Aziz dijatuhkan oleh Ng Kok Heng di sebelah kiri gawang Pulau Pinang.

Ketua pasukan Kelantan Tuan Kamree Tuan Yahaya memanfaatkan kesempatan itu dengan sepakan lencong yang mengelirukan menerjah ke sebelah kanan gawang Pulau Pinang menewaskan Kamarulzaman Hassan.

Jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti yang membantah sepakan percuma itu diperintah meninggalkan tempat duduk pemain simpanan oleh pengadil perlawanan dari Negeri Sembilan, Noor Azman Nordin setelah Kelantan memperoleh gol pertama pada minit ke-24.

Pemain skuad Harimau Kumbang yang tidak patah semangat selepas `Tok Guru` mereka di arah keluar padang terus mengasak kubu Si Kijang dan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-29 menerusi R. Sureshkumar.

Suresh mengambil kesempatan dari keadaan kelam kabut di depan pintu gol Kelantan menyepak mudah menewaskan Shahrizan Ismail.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4blkAffYf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan