Jumaat, 24 Mac 2017

Perak makin kukuh



ARKIB : 12/08/2002
PEMAIN kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin menjaringkan dua gol untuk membantu Perak menundukkan juara Perdana Dua, Kedah 2-1 pada perlawanan tunggal Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Perak di tangga teratas Kumpulan D dengan sembilan mata selepas menamatkan pusingan pertama.

Kedah seperti berupaya untuk sekurang-kurangnya mencipta keputusan seri, namun Indra Putra jelas terlalu licik untuk dikekang.

Pemain sayap kiri itu meletakkan pasukannyadi depan seawal minit kesembilan selepas mendapat hantaran daripada tengah padang.

Bagaimanapun, keghairahan mengatur gerakan ke kubu lawan membuatkan Perak sedikit alpa di bahagian bawah ketika babak pertama sudah menuju penghujung.

Kesempatan itu dipergunakan dengan baik oleh skuad Kenari untuk menghasilkan gol penyamaan apabila penyerang, Che Hishamuddin Hassan menolak bola ke depan gol lawan untuk mencipta suasana kelam-kabut.

Pemain import Kedah, Matar Diop hadir tepat pada masanya untuk menolak bola masuk pada minit ke-45.

Kedah tampak bersemangat apabila memulakan babak kedua tetapi Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd. Rafdi Rashid yang diturunkan semula selepas lama berehat jelas belum cukup lincah untuk mengasak pertahanan lawan.

Sebaliknya, Indra Putra yang lebih menyerlah apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-73.

Gol berpunca daripada salah faham Mazlan yang menyangka pengadil akan memberikan sepakan percuma kepada Perak selepas Indra Putra dijatuhkan di luar kotak penalti.

Namun, pengadil meneruskan permainan dan Indra Putra bangkit serta mengejar bola sebelum menyepak masuk ke dalam gawang sementara Mazlan hanya mampu melihat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cFbHXzA8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan