Isnin, 26 Jun 2017

Indra, Iqbal dapat panggilan



 
ARKIB : 23/05/2006
Ads by Kiosked
Indra, Iqbal dapat panggilan
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Mohd Iqbal Suhaimi (kanan) mendapat panggilan berlatih dengan Skuad Kebangsaan bagi menghadapi Singapura, 31 Mei ini.


KUALA LUMPUR - Lima pemain Pahang yang menjulang Piala FA, Sabtu lalu, dipanggil menjalani latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan bola sepak persahabatan menentang Singapura di republik itu, 31 Mei ini.

Agak mengejutkan ialah kembalinya sayap kiri Tok Gajah, Indra Putra Mahyuddin untuk berlatih di bawah skuad bimbingan Norizan Bakar dan pemilihan penjaga gol, Iqbal Suhimi yang juga Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA.

Indra menarik diri daripada persediaan menentang New Zealand, Februari lalu tetapi Iqbal mendapat peluang baru menyarung jersi negara ekoran prestasi membanggakan termasuk menyekat dua penalti pemain Perlis.

Norhafiz Zamani Misbah yang menggalas sementara tugas ketua pasukan Tok Gajah daripada Hairuddin Omar, turut mendapat kepercayaan semula Norizan untuk menyertai sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya itu.

Khidmat

Menyertai mereka juga ialah penyerang, Fadzli Saari dan pertahanan kiri, Rosdi Talib yang terlepas perlawanan akhir Piala FA kerana penggantungan dan kali terakhir mewakili negara ketika menentang Singapura, Jun tahun lalu.

“Saya gembira mendapat peluang lagi untuk mewakili negara. Selagi khidmat saya diperlukan, saya akan lakukannya,'' kata Norhafiz yang mengetuai Malaysia ketika tewas 0-1 dan 1-2 kepada New Zealand, kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pemain tengah naib juara Piala FA, Perlis yang sempat beraksi sebagai pemain gantian ketika menentang New Zealand di Auckland, Azi Shahril Azmi turut dipanggil menyertai skuad pelatih kebangsaan.

Malaysia akan menghadapi Singapura di Stadium Nasional dalam perlawanan yang bergelar Cabaran Tambak Johor sebelum melayani skuad bimbingan Radojko Avramovic itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban pada 3 Jun.

Cabaran tahun lalu menyaksikan Singapura yang juga juara Piala Tiger, menewaskan Malaysia yang ketika itu dibimbing oleh Bertalan Bicskei dari Hungary dalam siri perlawanan timbal balik, 2-0 di Singapura dan 2-1 di Pulau Pinang.

Kesemua pemain yang dipanggil menjalani latihan ini, hanya akan melapor diri di Wisma FAM mulai esok setelah kesemua pasukan mereka menghabiskan persaingan Liga Perdana dan Super masing-masing, semalam dan hari ini.

Sementara itu, Singapura pula menyenaraikan dua tonggak skuad Liga Perdana Johor, Ahmad Latiff Khamarudin dan ketua pasukannya, Aide Iskandar di antara 23 pemain bagi menghadapi Malaysia

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l6Z42srJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan