Isnin, 31 Julai 2017

Indra lega aksi menjadi

ARKIB : 27/08/2006
SHAH ALAM – Pernah dilabelkan sebagai pemain kontroversi tetapi penyerang Pahang, Indra Putra Mahayuddin membuktikan dia masih mempunyai sentuhan jaringan yang digeruni.

Indra Putra sering kali mencetuskan kontroversi dalam skuad kebangsaan terutama musim lalu apabila enggan membarisi skuad negara yang sedang membuat persiapan untuk Piala Tiger di bawah jurulatih dari Hungary, Bertalan Bicskei.

Namanya sering disenaraikan oleh Bicskei tetapi kemudiannya disisihkan gara-gara kecederaan dan keengganan pemain itu menyarung jersi kebangsaan.

Apabila namanya disenaraikan semula oleh jurulatih Norizan Bakar ramai yang sangsi dengan kelibat pemain itu apabila turut gagal membantu Pahang layak ke Piala Malaysia.

Tetapi aksi Indra Putra pada pertemuan dengan Thailand di Pesta Bola Merdeka Ke-38 apabila skuad kebangsaan menang 2-1, membuktikan kewibawaan sebenar pemain berasal dari Perak itu.

Dua gol yang dijaringkan oleh pemain berusia 25 tahun pada minit ke-40 dan 77, membuktikan betapa Indra Putra masih mempunyai sentuhan jaringan.

‘‘Saya jaringkan dua gol ini juga hasil bantuan rakan-rakan tanpa sokongan daripada mereka tidak mungkin saya dapat menjaringkan gol.

‘‘Saya harap dua gol ini dapat menyemarakkan semangat pemain lain untuk menewaskan Myanmar pula ,’’ katanya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4oTyvrieT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan