Ahad, 29 Disember 2019

FELDA, Kelantan sama handal


Simpan Artikel
MyMetroNode
 
Azlan Hafeedz
sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Impian Kelantan untuk mencipta kemenangan pertama ke atas FELDA United terbantut apabila sekadar seri 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Turun dengan keazaman tinggi, Kelantan ternyata gagal menyaingi kehebatan pelawat yang dilihat lebih menguasai permainan sebaik babak pertama bermula.

Tandukan ke belakang pemain import Kelantan Morgaro Gomis mengundang padah apabila Francis Forkey Doe bijak memanfaatkan peluang itu dengan ledakan gol pada minit ke-8.

Tersentak dengan gol pendahuluan pelawat, skuad kendalian Velizar Popov berusaha mengatur serangan namun skrip sama terus berulang dengan gandingan penyerang Kelantan Blazhe Ilijoski dan Wanderer Luiz gagal melakukan penyudah berkesan.

Ketiadaan dua bek kental Kelantan Muslim Ahmad dan Jonathan McKain akibat kecederaan menyebabkan barisan pertahanan diketuai Norhafiz Zamani Misbah terpaksa bekerja keras menahan asakan bertali arus pelawat.

Suasana di padang semakin ‘panas’ apabila pemain kedua-dua pasukan semakin agresif hingga memaksa pengadil Saiful Mohd Rodzali kerap menghentikan perlawanan.

Pertahanan Kelantan terus dirundung malang apabila Nik Mohd Shahrulazim mengalami kecederaan serius selepas dirempuh pemain pelawat, Ahmad Syamim Yahya pada minit terakhir separuh masa pertama hingga terpaksa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus galak melancarkan serangan ke kubu lawan dan hampir memperoleh gol penyamaan pada minit ke-47 menerusi percubaan Indra Putra Mahayuddin namun diselamatkan penjaga gawang Mohd Farizal Harun.

Tuan rumah yang semakin tertekan terus mengatur serangan tetapi mudah dipatahkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim.

Kelantan terpaksa menunggu hingga minit ke-76 untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan Luiz dari luar kotak penalti.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 8:43 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan