Sabtu, 16 November 2019

Maciel tak kisah umur Indra Putra


SUKAN»Bola
Selasa, 12 Disember 2017 | 5:59pm

AKSI Indra Putra Mahayuddin (kiri) ketika bersama Kelantan menentang Kedah pada saingan Piala Malaysia pada 18 Julai lalu. - Foto Syamsi Suhaimi
Maciel tak kisah umur Indra Putra
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Faktor usia tidak pernah menjadi ukuran kepada jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel apabila memilih pemain untuk mewakili pasukan itu sebaliknya prestasi di atas padang menjadi kriteria utama.

Beliau merujuk kepada Indra Putra Mahayuddin, 36, antara muka baharu yang dibawa masuk untuk memperkukuhkan cabaran Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super musim depan.

Pada ketika ramai menganggap Indra kini sudah menghampiri penghujung kariernya, Maciel pula melihat sebaliknya apabila menganggap pemain berkenaan sebagai aset yang berharga untuk skuad warga kota itu.

Malah, jurulatih kelahiran Brazil itu yakin kehadiran Indra akan membawa impak besar kepada usaha The Hawks menjadi pesaing utama Liga Super.

"Saya bukan membawa masuk Indra sekadar untuk menjadi pelengkap pasukan sebaliknya mahu memberinya peranan utama dalam misi kami musim depan.

"Usia bukan ukuran kerana apa yang lebih penting adalah prestasi. Walaupun sudah berusia 36 tahun namun saya lihat dia masih mampu menyaingi kecergasan pemain muda.

"Sudah tentu pengalaman dimiliki menjadikan dia sebagai pemain yang lebih lengkap. Kedua-dua faktor inilah yang menjadi tarikan utama saya ke atas Indra.

"Saya yakin, dengan disiplin serta komitmen yang ditunjukkan Indra terhadap kariernya, dia masih mampu bermain beberapa tahun lagi.

"Saya tidak akan terkejut jika suatu hari kelak, dia mampu mencipta sejarah sebagai pemain tertua beraksi dalam Liga Malaysia," kata Maciel.

Indra adalah antara muka lama yang masih mewarnai Liga M dengan pengalaman mewakili Perak, Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team dan FELDA United sejak memulakan karier profesional pada 1998.

Sepanjang hampir 20 tahun beraksi, dia telah menikmati semua kejuaraan domestik. Antara pencapaian terbaiknya adalah memacu Kelantan menjuarai Piala Malaysia pada 2010 dan 2012 dan Piala FA pada 2012 dan 2013.

Selain pernah menikmati kejuaraan Liga Super 2004 dan Piala FA 2006 bersama Pahang, dia juga turut membantu negeri kelahirannya, Perak, memenangi Liga Perdana 1 pada 2002 dan 2003.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 12 Disember 2017 | 5:59pm


Tiada ulasan:

Catat Ulasan