ARKIB : 17/09/2008
Tanggungjawab punca Shukor, Indra
diketepi
KUALA LUMPUR - Selangor tidak
melanjutkan khidmat dua pemain kebangsaan, Shukor Adan dan Indra Putra
Mahayuddin bagi menghadapi musim baru persaingan bola sepak Liga Malaysia kerana
gagal menunaikan tanggungjawab di atas padang setelah sekian banyak peluang
diberikan kepada mereka, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Khidmat mereka di samping empat
lagi pemain musim 2007-2008 iaitu Akmal Rizal Rakhli, Nuraizat Aziz, Wan Hoesne
Wan Hussein dan Megat Amir Faisal Al Khalidy Ibrahim juga diberhentikan demi
memberi peluang kepada pemain lain membuktikan kemampuan mereka.
Alasan pengguguran ini dinyatakan
oleh pengurus pasukan Gergasi Merah, Zakaria Ab. Rahim sambil menafikannya ada
kaitan dengan insiden Shukor dan Indra memukul penyokong di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi selepas perlawanan Piala Malaysia menentang Negeri
Sembilan, Jun lalu.
Malah Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad menambah: "Antara sebab
lain ialah kami tidak dapat memenuhi hasrat mereka yang berkaitan gaji apabila
khidmat pemain import ditiadakan sehingga gaji pemain tempatan pula naik
melambung."
Sidang akhbar sempena majlis
berbuka puasa di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam, turut mengumumkan
pelanjutan 13 pemain musim lalu dan menaikkan tiga pemain skuad Bawah 21 tahun
Selangor yang menjulang Piala Presiden serta jurulatihnya, P. Maniam ke skuad
Liga Malaysia.
Penyerang negara, Safee Sali
mengetuai senarai mereka yang dikekalkan selain R. Surendren, P. Gunalan, Amri
Yahyah, D. Surendran, Razman Roslan, Amirulhadi Zainal, Nasriq Baharom,
Asraruddin Putra Omar, Fazilidin Khalid, S. Sritharan, Zaiza Zainal Abidin dan
Fadzirul Zakaria.
"Khidmat tiga pemain skuad
Piala Presiden ialah Faizul Azwan Shahrullai (penjaga gol), Fitri Shazwan
Raduwan dan Fauzan Dzulkifli (pemain tengah) akan digunakan," kata Mokhtar
sambil menambah, pencarian ketua jurulatih Selangor menggantikan Dollah Salleh
bagaimanapun masih terbuka di kalangan orang tempatan atau warga asing.
"Saya tidak mahu mendedahkan
siapa calon atau pasukan asal mereka yang kini dipertimbangkan oleh FAS kerana
ia mungkin melibatkan kontrak mereka dengan majikan sekarang. Jawatan ini masih
kosong buat sementara kerana ia mungkin sensitif dengan majikannya," kata
Mokhtar.
Katanya, Safiq Rahim, Fadzli
Saari, Ghani Rahman dan Suffian Ab. Rahman Kungi Raman merupakan empat pemain
Selangor musim lalu yang masih belum menandatangani kontrak lanjutan yang
ditawarkan oleh FAS tetapi mereka kini diberikan tempoh tertentu untuk
memutuskannya.
Sementara itu, Zakaria meletakkan
sasaran meraih Piala Malaysia dan Liga Super musim depan yang bermula 3 Januari
ini buat skuad Merah Kuning tetapi ia tidak bererti trofi lain seperti Piala FA
dan Piala Sultan Ahmad Shah diabaikan kepentingannya.
"Ia hanya sasaran minimum
kerana memanglah kalau boleh saya mahu mengumpul kesemua kejuaraan Liga M
tetapi keutamaan kejayaan menjuarai Liga Super ialah bakal memudahkan Selangor
menyertai Piala AFC 2010," katanya yang sanggup mempertaruhkan jawatannya
jika gagal mencapainya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50RSrqCPV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan