Sabtu, 29 April 2017

Kebangkitan dari utara

ARKIB : 07/10/2004

Pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin (tengah) meraikan gol pertama yang dijaringkannya ketika bertemu Selangor dalam perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam semalam. Pahang menang 2-0 untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 3-1. - Gambar Abd. Rahman Saleh.



KEDAH menamatkan kemaraan pasukan kelab apabila menundukkan Public Bank 3-0 dalam perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Star semalam.
Kemenangan itu membolehkan Kedah mara ke separuh akhir dengan agregat 3-2, dan akan bertemu Perlis yang menumpaskan Negeri Sembilan 5-4 menerusi sepakan penalti.
Marcos Magno menyemarakkan perjuangan skuad Kenari apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24 dan kemudian Cristiano Selbach meletakkan namanya dalam senarai penjaring hanya lima minit selepas babak kedua bermula, sekali gus menyamakan kedudukan agregat.
Ketika Public Bank kelihatan lebih rela menentukan keputusan pada masa tambahan, Magno memusnahkan hajat mereka apabila percubaannya menerjah ke dalam gawang sembilan minit sebelum wisel penamat dibunyikan.
Perlis, yang kalah 3-2 pada perlawanan pertama menyamakan agregat menerusi Yusri Che Lah pada minit ke-79 di Stadium Utama, Kangar. Kedua-dua pasukan gagal menghasilkan gol kemenangan dalam masa tambahan.
Penentuan penalti selepas itu menyaksikan Effandi Malek gagal menyempurnakan sepakan penalti kelima untuk Perlis menang 5-4.
Sementara itu juara Liga Super 2004, Pahang mengesahkan kemaraan apabila menjinakkan Selangor dengan kemenangan mudah 2-0 di Stadium Shah Alam.
Dua penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar muncul wira Pahang dengan masing-masing mencipta jaringan pada minit ke-26 dan 59.
Kemenangan itu mengesahkan kemaraan Pahang ke peringkat separuh akhir menerusi agregat 3-1 selepas terikat dengan kedudukan 1-1 pada suku akhir pertama di Stadium Darulmakmur Sabtu lalu.
Pahang akan bertemu naib juara 2002-2004, Sabah yang meleburkan impian Pulau Pinang apabila menang 2-1 dalam permainan yang disulami aksi kasar di Stadium Bandaraya, untuk mara dengan agregat 3-1.
Skuad Harimau Kumbang yang ketinggalan satu jaringan pada perlawanan pertama di Stadium Likas pada Sabtu lalu memulakan permainan dengan agresif.
Sabah menyusun semula rangkaian serangan selepas rehat setelah dilihat tidak bermaya pada babak pertama dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-61 menerusi Zaykiel Leong.
Tersentak dengan jaringan itu, Pulau Pinang melakukan serangan pantas sehingga memaksa pemain Sabah mengasari M. Nagaraja dalam kotak penalti. Marcio Barreto yang diberi tanggungjawab mudah menewaskan Khairul Azman.
Pada minit ke-77, Andre Reinaldo Esposito menghapuskan semangat juang Pulau Pinang apabila menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan