Isnin, 11 Disember 2017

Indra sah wakili pasukan Kelantan

ARKIB : 29/10/2008
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
 
Annuar Musa (barisan depan dua dari kiri) menerima surat kontrak daripada Indra Putra Mahayuddin pada majlis Rumah Terbuka KAFA sempena Aidilfitri di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Pemain bola sepak kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin semalam sah berada dalam senarai pemain berstatus bintang skuad Kelantan untuk menempuh musim baru Liga Malaysia lebih menyakinkan dan penuh harapan.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri persatuan tersebut di Wisma KAFA dekat sini, semalam.

Kedatangan bekas pemain Selangor itu telah melengkapkan pasukan tersebut dalam usahanya menyuntik nafas baru agar skuad Kijang berupaya melompat lebih jauh dan berada dalam lingkungan pasukan elit di negara ini.

Menurut Annuar, Indra telah menandatangani kontrak bersama Kelantan sejak beberapa minggu lalu, namun tidak dihebahkan kepada media kerana memberikan ruang kepadanya untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam skuad kebangsaan.

"Kita sengaja tidak menghebahkan perkara ini lebih awal kerana tidak mahu tumpuan Indra yang ketika itu sedang memikul tugas bersama skuad negara dalam Pestabola Merdeka terjejas.

"KAFA amat berharap dengan kehadiran pemain ini akan memberikan suntikan semangat dan melengkapkan pasukan dalam mengharungi cabaran dalam Liga Perdana nanti," katanya.

Sementara itu, Annuar turut mengumumkan, ketua jurulatih Kelantan, Peter Butler sebagai pengurus pasukan yang baru bagi menggantikan Timbalan Presiden KAFA, Ahmad Jazlan Yaacob.

Menurutnya, bekas jurulatih Persiba Balik Papan, Indonesia itu dilihat berupaya untuk memikul tanggungjawab tersebut selain mencorakkan pasukan yang akan dibentuk.

"Kita mahukan satu kelainan sebab itu kita memilih Peter untuk menjawat jawatan sebagai pengurus pasukan yang mempunyai kuasa sepenuhnya.

"Kita tidak mahu berlaku pertindihan atau perbezaan pendapat antara jurulatih dan pengurus dalam menentukan kedudukan pasukan," katanya.

Dalam pada itu, Indra yang baru tiba di bandar ini bersama seorang lagi pemain kebangsaan, Daudsu Jamaluddin optimis dengan keupayaan pasukan barunya ini.

Pemain sayap itu juga percaya gandingannya dengan bekas rakan sepasukan di Perak, Khalid Jamlus dalam skuad Cik Siti Wan Kembang ini mampu memberikan impak yang besar kepada pasukan lawan.

"Kami berdua tidak pernah berbincang mengenai perkara ini (menyertai Kelantan) dan saya gembira sekiranya digandingkan bersama Khalid lagi selepas kali terakhir kami bersama pada 2001 ketika mewakili Perak.

"Saya berazam untuk membantu Kelantan menjuarai Liga Perdana dan membawa negeri ini menyertai Liga Super untuk musim seterusnya selain membawa pulang beberapa piala lagi tambahan pula pasukan ini ialah tempat asal ibu saya," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz511tRKaXL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan